Sekolah Tertua di Malaysia.... My School !!!!
Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor yang ditubuhkan pada tahun 1826 merupakan sekolah Melayu yang tertua sekali di Tanah Melayu. Mengikut catatan sejarah dan cerita mulut dari orang tua bahawa Sekolah Melayu Gelugor ini telah pun wujud sebelum tahun 1826 lagi. Sekolah ini pada mulanya diuruskan sendiri oleh penduduk kampung Gelugor sebagai kelas mengaji Quran, belajar pelajaran Agama Islam dan juga mengajar tulisan jawi.
Pada masa itu juga, Sekolah Penang Free mengadakan sebuah kelas Bahasa Melayu. Apabila kelas itu ditutup, maka sebuah bangunan telah didirikan di Gelugor oleh En. Brown iaitu salah seorang pentadbir Sekolah Penang Free dan tuan punya ladang Brown. Bangunan ini didirikan di kawasan ladang getah berhampiran dengan rumah pengurus ladang itu bagi menempatkan anak-anak pekerja ladang Brown. Bangunan tersebut hanya merupakan sebagai sebuah bangsal yang berbumbung atap nipah sepanjang sembilan hubungan atap dan berdinding atap nipah juga serta berlantai papan. Di tengah-tengahnya ada satu ruang untuk dilalui oleh kereta atau kuda yang dinaiki oleh En Brown.
Perjalanan kemajuan sekolah ini diusahakan oleh Rev. Mr. Beighton. Pada masa itu, sekolah ini di bawah pentadbir Estetnya (Ladang Pala dan Getah). Beliau telah melantik 3 orang guru, di bawah kelolaan Guru Besarnya Munshi Shaikh Mohd. Tambi, seorang guru dari Sekolah Penang Free. Ramai muridnya tidak diketahui tetapi mempunyai 4 darjah terdiri daripada murid-murid lelaki sahaja iaitu darjah 1 hingga 4. Apabila tamat darjah 4, murid-murid ini boleh melanjutkan pelajaran mereka ke Sekolah Penang Free.
Pada tahun 1838, Kerajaan Negeri-negeri Selat telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini dan dijadikan sekolah kerajaan. Sebuah bangunan sekolah baru (Sekolah A) didirikan di kawasan yang ada sekarang. Pada masa itu hanya murid-murid lelaki sahaja yang belajar dari darjah 1 hingga 4 dengan dua orang guru termasuk Guru Besarnya, En. Munshi Shaikh Mohd. Lebai.
Apabila bilangan murid semakin bertambah, sebuah bangunan sekolah (Sekolah B) di Batu Uban, Pulau Pinang telah dipindahkan ke kawasan sekolah ini digandingkan dengan bangunan Sekolah A dahulu. Pada awal tahun 1920-an, murid-murid perempuan telah mula dikumpul untuk diberi pelajaran jawi dengan menggunakan bangunan Sekolah B.
Pada tahun 1924, apabila bilangan murid bertambah ramai, maka murid-murid perempuan tidak lagi dapat ditempatkan lagi di bangunan Sekolah B, maka sebuah bangunan baru (Sekolah C) telah didirikan berasingan dalam kampung luar dari kawasan sekolah dengan disewa tapaknya dari Estet Brown. Bangunan ini bangunan atap untuk menempatkan seramai 34 orang pelajar perempuan. Sekolah perempuan ini ditadbirkan oleh 2 orang guru, Mak Mah sebagai Guru Besarnya dan Mak Salmah sebagai Guru Penolongnya.
Menjelang tahun 1930, bilangan pelajar semakin meningkat, oleh itu sebuah bangunan baru (Sekolah D) telah didirikan di dalam kawasan sekolah tersebut yang mengandungi dua tingkat dan lapan bilik darjah. Bangunan A, B, dan C dimusnahkan. Sebuah rumah guru (Rumah A) didirikan berhampiran dengan bangunan rumah guru (Rumah B) didirikan di atas tapak bekas bangunan Sekolah A dahulu.
Pada 18hb. Disember 1941, Sekolah Melayu yang tertua di Tanah Melayu ini terpaksa ditutup kerana Perang Dunia Kedua meletus dengan pendaratan askar Jepun di Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun pada 26hb. April.1942, sekolah dibuka semula semasa pemerintahan Jepun dengan seramai 285 orang murid dan 8 orang guru di bawah kelolaan Guru Besarnya En. Omar bin Hj. Nasruddin.
Apabila Jepun menyerah kalah kepada Pihak Berikat pada tahun 1945, sekolah ini terpaksa ditutup. Namun begitu, sekolah ini dibuka semula pada 1hb. Oktober 1945, dengan kehadiran seramai 174 orang murid di bawah jagaan 5 orang guru termasuk Guru Besarnya, En. Abdullah bin Yahaya.
Comments
Post a Comment